Friday, October 29, 2010

Tafsir al Hujurat part 2

الحمدلله...
Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana limpah kurnianya dapat lagi kite bersame-same berkongsi sedikit ilmu di dalam blog ini moga2 mendapat manfaat bersama, InsyaAllah..Pada beberapa hari yg lepas kalu xsilap saya kite telah membincangkan tentang gambaran awal yang kite akan ceritekan serba sedikit tafsiran surah ini. Kali ini kite akan berbincang bersama tafsiran surah al-hujurat daripada ayat 1-5. Moga-moga kite mendapat sedikit manfaat daripadanya, insyaAllah…
يأيها الذين ءامنوا لا تقدموا بين يدى الله ورسوله واتقواالله إن الله سميع عليم
1. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memutuskan sesuatu perkara di hadapan Allah dan RasulNya (dari apa yang diputuskan oleh Allah dan RasulNya) dan bertakwalah kamu semua kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Allah S.W.T telah berfirman dalam ayat ini bahawa sebagai orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya hendaklah taat kepadaNya dan utusanNya. Janganlah sesekali melanggar atau mendahului hukum-hukum Allah dan sabda junjungan besar kite Nabi Muhammad S.A.W yang merangkumi urusan dunia dan agama. Rasulullah telah berpesan supaya taat segala perintah Allah S.W.T kerana Dialah yang layak disembah dan Dialah yang sepatutnya kite mengabdikan diri kepadaNya seluruh jiwa raga kite.
Terdapat banyak sebab nuzul ayat ini dan antaranya ialah yang diriwayatkan oleh Abi Malikah, menurut Abdullah b. Zubir iaitu terdapat satu rombangan yang datang untuk menemui Rasulullah S.A.W. Rombongan tersebut dari kalangan Bani Tamim. Belum sempat baginda Rasulullah keluar untuk menemui mereka, telah berlaku pertelingkahan antara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar mengenai pelantikan ketua di kalangan Bani Tamim yang baru sahaja masuk Islam. Saidina Abu Bakar mencadangkan supaya melantik Al-Qaqqaq bin Mukbid tapi Saidina Umar mencadangkan Al-Qaraq bin Jabas sebagai ketua. Perselisihan ini menyebabkan suara mereka terangkat tinggi tanpa mereka sedari. Oleh kerana itu Allah menurunkan ayat ini bahawa janganlah mendahului allah dan RasulNya dalam membuat sebarang keputusan.
Terdapat dalam satu kisah di mana Rasulullah pada ketika itu sangat uzur dan meminta Saidina Abu Bakar untuk menjadi imam solat, sabdanya:
مروا أبا بكر فليصل بالناس
Maksdunya: suruhlah Abu Bakar menjadi imam untuk bersolat kepada orang ramai.
Maka Saidatina Aisyah berkata kepada kepada Habsyah:
قولي له إن أبا بكر رجل أسيف وإنه متى يقم مقامك لا يسمع الناس من البكاء، فمر عمر فليصل بالناس
Maksudnya: “katakanlah kepada Rasulullah S.A.W, sesungguhnya Abu Bakar seorang yang amat mudah bersedih apabila membaca Al-Quran, sekiranya dia menangis dalam solat, dia tidak boleh memperdengarkan bacaan Al-Quran itu kepada orang ramai yang bersolat di belakangnya”, lalu saidatina Aisyah mencadangkan supaya Umar yang menjadi imam untuk solat.
Maka mereka pergi bertemu dengan Rasulullah dan Rasulullah S.A.W bersabda:
إنكن لأنتن صواحب يوسف، مروا ابا بكر فليصل بالناس
Maksudnya: “sesungguhnya kamu wahai perempuan sama seperti dengan perempuan-perempuan yang telah memfitnah Nabi Yusuf as, suruhlah abu Bakar menjadi imam kepada orang ramai.”
Daripada peristiwa-peristiwa ini dapat kite simpulkan bahawa kite tidak boleh sesekali melanggar perintah Allah dan Rasul kite. Kite lihat bagaimana 2 kisah ini bukanlah orang-orang biasa yang mendahului Allah dan RasulNya, iaitu Abu Bakar, Umar dan isteri Rasulullah sendiri yang melakukan sedemikian. Mereka bukanlah sengaja melakukan perkara sedemikian dan bila mana turunnya ayat ini, mereka akur dengan perintah Allah tuhan semesta alam dan junjungan mulia Muhammad S.A.W.
Tetapi dunia sekarang bukan setakat melanggar perintah Allah, malah dihina segala suruhan Allah dan mempertikaikan hukum-hukum yang telah disyariatkan kepada kite. Kite melihat bagaimana satu golongan yang mempertikaikan hukum hudud dan mengatakan bahawa hudud adalah hukuman yang lapuk, yang ketinggalan zaman. Jelas ini membuktikan bukan sahaja melanggar perintahNya malah dihina dan mempersendakan hukum-hukum yang telah diturunkan kepada kite. Allah telah berfirman bahawa JANGAN MENDAHULUI ALLAH DAN RASULNYA, ayat ini jelas menunjukkan bahawa melanggar perintahNya pun tidak boleh, dilarang oleh Islam apatah lagi kite menghina hukum-hukum Allah. Siapalah kite untuk menghina hukum-hukum yang memang cukup sempurna bagi manusia. Yang mana hukum-hukum memang bersesuaian sepanjang zaman. Hendaklah kite patuh dan taat akan segala perintah Allah dan janganlah kite termasuk dalam golongan yang melnggar perintah Allah malah mempersendakan agama kite yang tercinta ini. Ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar. Allah mengetahui segala yang kite ungkapkan, segala yang kite buat sama ada kite menghina hukumNya, melanggar arahanNya, melaksanakan perintahNya. Kite tidak boleh lari daripadaNya kerana Dia mengetahui segala apa yang manusia lakukan di atas muka bumiNya.
Allah berfirman lagi:
يأيها الذين ءامنوا لا ترفعوا أصوتكم فوق صوت النبي ولا تجهروا له بالقول كجهر بعضكم لبعض أن تحبط أعملكم وأنتم لا تشعرون
2. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap Dengan setengahnya Yang lain. (larangan Yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
Sebab nuzul ayat ini adalah salah satu peristiwa yang berlaku perselisihan pendapat antara Abu Bakar dan Umar yang telah saya ceritakan tadi. Selepas turunnya ayat ini, merekaa berasa bersalah dan menggunakan suara yang sangat lembut dan perlahan.
Sesetengah ulama’ pula member pendapat bahawa yang mengangkat suara tinggi ialah daripada kabilah yang datang itu sendiri (Bani Tamim) kerana itulah cara mereka. Bergaul secara kasar sesame sendiri dan meninggikan suara sesame mereka walaupun Rasulullah ada bersama mereka.
Ini adalah antara perangai orab arab badwi yang suka memuji kabilah mereka sendiri dan mengatakan kabilah mereka lebih baik daripada kabilah yang lain. Al-Aqraq bin Jabas bersyair memuji kabilah mereka dengan syairnya. Setelah itu, syair mereka di jawab oleh penyair Rasulullah Hassan bin Thabit yang berbunyi:
بنى دارم لا تفخروا إن فخركم يعود وبالا عند ذكر المكارم هبلتم علينا تفخرون وأنتم لنا حول من بين ظئر وخادم
Maksudnya: “Bani Daram, janganlah kamu bermegah, sesungguhnya kemegahan kamu akan bertukar menjadi kehinaan ketika mana mengingati akan kemuliaan yang sebenar. Kamu ketika menyebut alangkah tahunya kamu akan hal kami, kamu bermegah sedangkan kamu adalah hamba-hamba sahaya kami di antara pemberi belas kasihan dan pemberi khidmat bakti.”
Apabila Bani Tamim mendengar syair Hassan bin Thabit, mereka lalu berkata:
خطيبهم أخطب من خطيبنا وشاعرهم أشعر من شاعرنا
Maksudnya: “Ahli pidato mereka lebih handal dari ahli pidato kia, dan penyair mereka lebih handal dari penyair kita.”
Mereka bercakap dalam keadaan nada suara yang kuat. Oleh kerana itu, Allah menurunkan ayat ini supaya jangan meninggikan suara lebih daripada suara nabi. Allah mengajar kita supaya beradab dengan KEKASIHNYA yang dicintai. Dan ingatlah bukan ketika Rasulullah hidup sahaja kita perlu menjaga adab terutama tidak meninggikan suara, baginda wafat pun perlu kita menjaga adab kita dengan baginda malah larangan mengangkat suara pun perlu dilakukan apabila kita mendengar hadis-hadis nabi dibacakan oleh sesiapa sekalipun. Sebagaimana kita disuruh diam ketika mendengar bacaan Al-Quran, seperti itu jugalah kite dilarang meninggikan suara ketika hadis-hadis nabi dibacakan serta tidak berpaling kerana sabda baginda itu juga datang daripada Allah S.W.T.
Seandainya kita melanggar larangan ini, akibatnya hilanglah amalan atau tidak diterima kita kerana kita tidak berakhlak dengan Allah dan KEKASIHNYA.
Seterusnya Allah berfirman dalam ayat yang seterusnya:
إن الذين يغضون أصوتهم عند رسول الله أولئك الذين امتحن الله قلوبهم للتقوى لهم مغفرة وأجر عظيم
3. Sesungguhnya orang-orang Yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah (s.a.w), - merekalah orang-orang Yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala Yang besar.
Ayat ini menunjukkan bahawa bagi orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah, mereka akan diberi ujian oleh Allah taala untuk melengkapkan diri mereka dengan sifat taqwa. Seperti mana Abu Bakar apabila beliau mendengar firman Allah supaya jangan meninggikan suara, beliau berkata:
والله لا أرفع صوتي إلا كأخى السرار
Maksudnya: “Demi Allah, aku tidak akan meninggikan suara aku melainkan aku bercakap seperti bercakap kepada orang yang hendak diberikan sesuatu rahsia.”
Hebat sifat-sifat sahabat nabi yang begitu taat dan patuh akan perintah Allah S.W.T. Allah memuji mereka dan mereka itulah berjaya dengan ujian Allah kerana mereka bertaqwa kepadaNya. Allah juga menyebut dalam ayat tersebut bahawa mereka telah mendapat keampunan dan mendapat pahala yang besar kerana taat dan patuh denagn perintahNya dan menunjukkan akhlak yang mulia. Adakah kita tidak mahu menjadi salah seorang hamba yang bertaqwa kepada Allah, taat segala perintahNya, menjauhi segala laranganNya? Sedangkan para sahabat yang begitu hebat imannya pun merasakan diri mereka masih lagi jauh dari Allah sedangkan sebagaimana kita tahu amalan mereka cukup hebat di sisi Rasul tercinta dan dipuji oleh Allah atas sikap mereka yang cukup taat akan perintahNya. Kita sebagai hamba Allah, umat Nabi Muhammad di akhir zaman sepatutnya melakukan banyak amal soleh, taat dan patuh segala suruhanNya dan jauhi laranganNya. Moga-moga kite mendapat keampunan daripada Rabbul Jalil.
Seterusnya Allah berfirman lagi dalam ayat seterusnya:
إن الذين ينادونك من وراء الحجرات أكثرهم لا يعقلون
4. Sesungguhnya orang-orang Yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, Wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).
Islam mementingkan adab. Adab menunjukkan sikap atau perangai seseorang itu dalam kehidupan mereka. Allah S.W.T menurunkan ayat ini mengikut riwayat Mujahid dan beberapa orang ulama’ lain atas peristiwa kedatangan orang Badwi Bani Tamim seramai 19 orang dengan bertujuan untuk memeluk Islam dengan menunjukkkan sikap yang kurang baik kepada Rasulullah S.A.W. Apabila mereka sampai di masjid Nabi, mereka memanggil Nabi dengan suara yang kasar dan kuat serta panggilan : “Ya Muhammad, keluarlah, kami datang hendak berjumpa dengan kamu.” Panggilan seperti ini sememangnya tidak layak mereka lakukan terhadap junjungan mulia itu sedangkan mereka sepatutnya memanggil dengan panggilan yang baik dan mulia seperti “ Ya Rasulullah, Ya Nabi Allah” dan sebagainya. Mereka tidak boleh memanggil Nabi seperti mereka memanggil kawan-kawan mereka dengan panggilan yang kurang beradab dan nada yang kuat.
Kebetulan pada ketika itu Rasulullah tengah berehat dan terkejut dengan laungan yang kuat yang ditujukan kepadanya. Sepatutnya waktu tersebut baginda Rasulullah berehat tetapi diganggu dengan laungan tersebut, laungan orang yang tidak memahami adab-adab Islam. Mereka telah menunjukkan akhlak dan sikap yang kurang baik terhadap Rasulullah. Oleh sebab itu, Allah S.W.T menyebut “kebanyakkan mereka itu terdiri ddaripada orang yang tidak mengerti” yang membawa maksud mereka tidak memahami adab-adab dan akhlak-akhlak yang baik dalam Islam terutama dengan baginda Rasulullah S.A.W. Oleh yang demikian, kta sepatutnya mengamalkan akhlak-akhlak yang mulia serta adab-adab Islam yang baginda telah ajar kepada kita baik sesame manusia dan sesame makhluk Allah di bumi. Malah akhlak dengan baginda pun sepatutnya kita kena jaga walaupun baginda telah wafat sekalipun. Adakah kita hendak menjadi seperti orang Badwi yang terkenal dengan sikap yang kurang baik sedangkan mereka ketika itu tidak memahami lagi tentang Islam. Muhasabahlah diri sahabat-sahabat sekalian…
Ayat seterunya pula:
ولو أنهم صبروا حتى تخرج إليهم لكان خيرا لهم والله غفور رحيم
5. Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga Engkau keluar menemui mereka, tentulah cara Yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat ini merujuk kepada orang arab Badwi tersebut jika sekiranya mereka bersabar menunggu baginda yang mulia itu keluar menemui mereka, itulah yang paling baik dan berakhlak sekali. Allah S.W.T boleh melakukan apa-apa sahaja kepada mereka yang tiudak beradab dengan Rasulullah sama ada membisukan mereka serta mendera mereka akan tetapi Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Tujuan terjadi peristiwa ini adalah untuk menjadi pengajaran buat mereka. Belajar daripada kesilapan yang telah mereka lakukan lebih baik kerana atas perkara ini mereka akan lebih mudah ingat untuk tidak mengulanginya sekali lagi. Cara mendidik ini lebih berkesan daripada tidak pernah melakukan kesilapan, seseorang itu akan mudah lupa atas tindakan yang dilakukan.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang kepada hambaNya, Moga-moga kita mendapat banyak pengajaran daripada ayat 1-5 daripada surah al-Hujurat. insyaAllah kita akan berbincang lagi pada sesi yang lain. Sebarkanlah kepada sahabat-sahabat yang lain ye…
السلام عليكم.....


copy paste from blog Muhammad Firdaus

No comments: